Isnin, 28 Februari 2011

~Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu ~


Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu...AllahuAkbar!!!

- Artikel iluvislam.com

Rabu, 23 Februari 2011

Di Kala Rasa Lemah itu Menjengah



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Memang.

Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.

Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.

Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.

Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.

Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.

Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?

Bagaimana kita menyingkapinya?

Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.

Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.

Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.

Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.

Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?

Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.

Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.



Bersangka baiklah.

Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.



Sabar.

Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.



Kesilapan kita.

Ada masa kita silap.

Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.

Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.

Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.

Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]

Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.

Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?

Namun, silapnya pada kita.

Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.

Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.

Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.



Wujudnya saat muhasabah.

Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.

Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.

Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.

Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?

Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.

Baik.

Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?

Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]

Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.

Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.

Dia mahu kita kembali kepadaNya.

Dia mahu kita selamat di 'sana'.

Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.

Sekarang, jawab dengan hati kita. . .



Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?

Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?



Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?

Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?

Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.

Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.

Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.

Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.

Selama ini, adakah itu cara kita melihat?



Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup

Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" - [Surah Al-Baqarah, 2: 30]

Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).

Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.

Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.

Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.

Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.

Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.



Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.

Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.

Wahai diri,

Kali ini. . .

Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.

Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]



- Artikel iluvislam.com

Ahad, 13 Februari 2011

Menyambut Hari Memperingati Kekasih ( Valentine's day) Hukumnya Haram di Sisi Islam


Sahabat yang dirahmati Allah,

Di dalam Islam terdapat perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi S.A.W. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”

(Hadis riwayat Nasaai)

Selepas kurun ke 3 Hijrah, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulidur-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Christmas, Deepavali , Thaipusam, Hari Halloween

dan juga Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) yang sedang kita perbincangkan ini.

Terdapat larangan daripada baginda S.A.W. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis Nabi S.A.W yang lain bermaksud : "“Sesiapa yang reda dengan kufur maka dia menjadi kufur"

Sahabat yang dimuliakan,

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Setiap tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini namun ianya tidak di hiraukan oleh golongan remaja dan muda-mudi umat Islam, mereka tetap menyambut dan meraikannya.

Oleh itu untuk menyedarkan umat Islam terutama mereka yang sedang bercinta sebenarnya hari tersebut mempunyai kaitan dengan sejarah agama Kristian, sejarah Rom Kuno dan sejarah mereka bergembira kerana kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol . Hari Memperingati Kekasih tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

Terdapat 3 pendapat kenapa orang Kristian menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) :

Pendapat Pertama : Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat Kedua : Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari.

Pendapat Ketiga : Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Kristian dan Rom Kuno sebagaimana yang telah penulis paparkan di atas. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine dan menyambut peristiwa yang berlaku semasa Rom Kuno jelas akan menjejaskan akidah Islam, maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih juga seolah-oleh kita reda dengan kegembiraan orang Kristian merayakan kemenangan mereka menjatuhkan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yang mana sejarah terlah menceritakan ratusan ribu umat Islam disembelih, masjid ditukar menjadi gereja dan hukum-hukum Islam telah ditukar dengan hukum-hukum menurut agama meraka. Adalah sesuatu yang amat memalukan jika kita bersekongkol dengan orang kafir untuk meraikan hari tersebut. Jika ini berlaku maka kita telah mendedahkan diri kita untuk mendapat kemurkaaan Allah S.W.T kerana terang-terang perayaan tersebut menentang hukum-hukum Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,

Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Memperingati Kelasih (Valentine's day) sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.

Tambahan pula sambutan ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tentang hukum menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32)

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar arus perdana, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah S.W.T.. Firman-Nya yang bermaksud : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)".

(Surah al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya yang bermaksud : "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".(Surah al-Hijr ayat 39-40)

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Memperingati Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Oleh itu marilah sama-sama kita berkempen kepada semua umat Islam agar meninggalkan amalan songsang ini dan jangan sekali-kali merayakannya kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Jika kita berdiam diri dan tidak memberi nasihat kepada umat Islam, remaja dan muda mudi kitaakan bahaya perayaan tersebut ditakuti bala yang turun nanti bukan saja menimpa kepada orang yang melakukan maksiat tetapi kita juga akan turut mendapat kesannya. Gunakanlah masa terluang kita untuk menambahkan ilmu yang bermanfaat disurau-surau atau di masjid-masjid supaya kita sentiasa mendapat taufik dan hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Jumaat, 11 Februari 2011

Suami Yang Soleh Sentiasa Melayan Isterinya Dengan Baik


Sahabat yang dirahmati Allah,

Seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab akan menjadikan Islam sebagai asas dalam kehidupan untuk dirinya, isteri dan anak-anak . Dia akan memastikan semua ahli keluarganya sentiasa mentaati Allah S.W.T. dan menjauhi larangan-Nya.

Membina sebuah rumahtangga yang dihiasi dengan ibadah adalah suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. Oleh itu salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang senantiasa dihiasi dengan amal ibadah yang soleh dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."

(Surah al-Nahl ayat 97)

Oleh itu para suami hendaklah senantiasa menganjurkan para isteri untuk beribadah bersama seperti mengerjakan solat tahajud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah S.A.W. senantiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

(Surah Taha ayat 132)

Telah diriwayatkan dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajud), sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila hendak mengerjakan solat witir, baginda akan membangunkanku".

(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda maksudnya : " Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Bila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), baginda memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga Allah merahmati seorang isterinya yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Bila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah

suaminya." (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Oleh itu sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi S.A.W. Disamping itu hendaklah para suami isteri berusaha untuk saling memperingatkan di antara satu sama lain untuk bersama-sama melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan meninggalkan segala laranganNya.

Hendaklah mereka berganding bahu dalam menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang Islamik yang di dalamnya penuh dengan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang tenteram. Saranan ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras dan tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka yang selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

(Surah al-Tahrim ayat 6)

Sahabt yang dimuliakan,

Hendaklah suami sentiasa menunjukkan wajah yang ceria kepada isteri dan anak-anaknya dirumah. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh

mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatahlagi telah sabit perintah dari Nabi S.A.W. agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya yang bermaksud : " Sedikitpun janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik,

meskipun ketika berjumpa dengan saudaramu engkau menampakkan wajah

ceria. (Hadis Riwayat Muslim)

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali yang paling utama bagi suami adalah untuk menunjukkan wajah cerianya kepada isteri tercinta.

Satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian suami ialah suami hendaklah menjaga penampilan dirinya, disamping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah

menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.

Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang

ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."

Tambahan pula Allah 'Azza wa Jalla menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya : " Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan".

(Hadis Riwayat Muslim)

Para suami yang soleh sentiasa berusaha untuk kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandangnya ketika dirumah bukan hanya bergaya ketika hendak pergi ketempat kerja atau datang ke majlis jamuan dan kenduri kendara.

Suami yang berakhlak mulia dan lemah lembut adalah seorang suami yamg sentiasa sabar dengan kerenah isterinya. Sentiasa berusaha untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan tidak suka kepada pertengkaran dan perselisihan faham sesama suami isteri.

Perempuan memang terkenal dengan sikap mereka yang emosional dan suka ikut perasaan. Namun begitu para suami harus sabar ketika berhadapan dengan kerenah sedemikian rupa. Hendaklah para suami berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah

bahagian atasnya. Seandainya kamu luruskan maka berarti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus sahaja bengkok. Untuk itu nasihatilah wanita dengan baik. (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menganjurkan para suami untuk menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ianya bukan sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu para suami haruslah bijak mencari masa yang paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap maka sebaiknya ditangguh dahulu penjelasan atau menasihatinya sehingga keadaan menjadi tenang dan tenteram.

Sekiranya wujud di dalam isteri masing-masing sifat-sifat yang kurang kita senangi maka handaklah kita mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan mengelakkan timbul perasaan benci terhadap isteri. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain."

(Hadis Riwayat Muslim)

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka hendaklah ianya dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka

masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

(Surah al-Nisaa' ayat 34)

Jika suami telah melihat tanda-tanda kedurhakaan pada isterinya, hendaklah dia menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman Allah terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya dan dia masih tidak berubah maka suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk

menyedarkan isteri atas kesilapannya maka suami boleh memukul isteri sekadar menyedarkannya bukan dipukul hingga mendatangkan kecederaan atau menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk menangani sikap-sikap yang negatif yang mungkin wujud pada para isteri. Jika pukulan ini pun tidak boleh menyedarkannya maka perlulah dirujuk kepada keluarga pihak isteri untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dan menasihati isterinya.

Satu lagi kewajipan suami adalah dia perlu untuk menyediakan rumah untuk isteri sekadar kemampuannya. Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan

kewajipan seorang suami. Ianya amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesarkan serta mendidik anak-anak. Dalil kewajipan menyediakan rumah adalah sebagaimana firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu…

(Surah al-Talaaq ayat 6)

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dalam tempoh idah namun ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak untuk mendapatkan tempat tinggal. Tentang saiz serta reka bentuk rumah maka ianya menurut kemampuan para suami.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (Surah al-Baqarah ayat 233)

Bagi suami yang memiliki sedikit harta maka dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu dan sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa.

Seorang isteri juga berhak untuk mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya (jika suaminya berpoligami) mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak untuk menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut. Penolakan isteri itu menunjukkan kemungkinan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita menghayati ciri-ciri suami yang soleh dan mampu memainkan peranan sebagai ketua keluarga mendidik dan memberi segala keperluan asasi untuk isterinya, yang mana hak ini terlah termaktub di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W.

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran serta sunnah Nabi S.A.W. yang dapat membantu membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi sekalian pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri.

Contohilah sunnah Nabi S.A.W. kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik. Firman Alah S.W.T. maksudnya : " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan

(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzaab ayat 21)

Imam Sufyan bin `Uyainah rahimahullah berkata: "Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka itu bererti batil."

Khamis, 10 Februari 2011

TERISTIMEWA BUAT MUSLIMAH...


Muslimah,

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bias menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau menyerah ingin menyerah diri pada sang kumbang??

Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Muslimah,

Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak lagi dimahkotakan si mawar berduri.

Sesungguhnya Utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

“Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita.” Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka??

Ingatlah duhai muslimah sayang,

Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan-urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjang ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insane oleh bernama Adam.

“Dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik,dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik (pula)..” (Surah al-Nur : ayat 26)

semoga mndpat mnAfaat buat kita semua...insyaALLAH...

Selasa, 8 Februari 2011

Tafsir Mimpi Menurut Islam


Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia pernah bermimpi, kerana mimpi adalah perkara biasa berlaku semasa tidur dan ianya berlaku kepada setiap orang. Semakin bertakwa seseorang itu kepada Allah S.W.T. maka semakin benarlah mimpi-mimpinya sebagai petunjuk daripada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).

Untuk mendapatkan mimpi yang benar seseorang perlulah melaksanakan adab-adab sebelum tidur seperti berwuduk, membaca al-Quran, berzikir dan solat witir. Tidur mengiring ke arah kiblat seperti tidur Rasulullah S.A.W. Waktu yang baik adalah waktu tengah malam di antara jam 1 pagi hingga 4 pagi. (waktu mustajab doa).

Sahabat yang dimuliakan,

Mimpi yang dimimpikan di antara masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah. Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah S.W.T. dengan firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”

(Surah al-Fath ayat 27).

Secara umumnya, mimpi berlaku apabila seseorang itu sedang tidur. Boleh juga berlaku dalam situasi lain, seperti ketika pengsan, mabuk, nazak dan sebagainya, dengan syarat fizikalnya dalam keadaan separuh sedar.

Dikatakan mimpi berlaku apabila roh seseorang itu keluar dari jasadnya, cuma yang berbeza dengan kematian ialah roh orang mati keluar terus kesemua sekali dari jasad. Bagi orang yang bermimpi, rohnya hanya keluar dalam ertikata ‘menjenguk’ (extending), masih ada yang tinggal dalam jasad. Sebab itulah orang tidur masih bernafas. Ibarat seseorang kaki kanan di dalam air tapi kaki kiri memijak daratan. Begitulah juga orang yang bermimpi, sebahagian rohnya berada dalam jasadnya manakala sebahagian lagi berada di luar tubuhnya.

Manusia keseluruhanya bermimpi. Kadangkala mimpi itu menggembirakan dan kadangkala tidak, kadangkala mimpi itu tidak dapat difahami dan di tafsirkan, kadangkala mimpi itu juga penuh misteri dan simbolik sehinggakan agak sukar bagi kita sebagai umat manusia untuk menafsirkan makna di sebalik setiap kejadiaan mimpi tersebut.

Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: "Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan."

Dalam suatu riwayat dikisahkan, seorang wanita bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebahagian tubuh baginda berada di rumahku." Baginda menjawab, "Sesungguhnya Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki, kemudian engkau yang akan menyusukannya." Tidak lama kemudian Fatimah melahirkan Hussein dan disusukan oleh wanita tersebut.

Menurut ahli-ahli takbir, mimpi ada tiga macam:

1. Mimpi daripada Allah S.W.T. iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat, merupakan khabar gembira atau satu peringatan daripada Allah S.W.T. supaya tidak melakukan maksiat kepada-Nya.

2. Mimpi yang batil atau permainan syaitan, iaitu mimpi yang tidak dapat diperincikan oleh orang yang bermimpi. Ertinya orang yang bermimpi itu tidak sanggup mengingat tertib atau jalan cerita mimpi itu. Mimpi seperti ini dianggap batil dan tidak mempunyai sebarang makna atau takwil. Atau mimpi buruk yang tidak menyenangkan seperti kedatangan mala petaka, musibah, permusuhan, kesedihan, kesengsaraan, kemelaratan, penderitaan dan sebagainya.

3. Keinginan nafsu. Seperti kita ketahui nafsu ada tiga, iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawwamah dan nafsu ammarah. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Sesuatu yang dia lakukan atau dia khayalkan siang hari atau menjelang tidurnya selalu menjelma ketika tidurnya. Atau mimpi makan ketika diri sedang lapar, mimpi di aniayai orang ketika sedang sakit dan sebagainya. Mimpi seperti ini tidak mempunyai erti sama sekali.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya ; "Mimpi itu ada tiga, mimpi daripada Allah (mimpi yang baik), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi."

Sahabat yang dihormati,

Mimpi mempunyai keistimewaan tersendiri. Sebahagian mimpi membayangkan perkara yang bakal terjadi dan kemudian benar-benar terjadi. Mimpi yang baik adalah mimpi yang disandarkan kepada Allah S.W.T; ia adalah mimpi yang benar, yang datang dengan membawa khabar gembira dan peringatan. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, mimpi (yang baik dan benar) adalah sebahagian warisan kenabian yang kekal hingga ke hari ini.

Sedangkan mimpi yang tidak disukai adalah mimpi yang disandarkan kepada syaitan; Nabi S.A.W meminta agar menyembunyikannya dan membuangnya jauh –jauh. Baginda memberitahu kepada orang yang bermimpi (dari syaitan), bahawasanya mimpi itu tidak akan mendatangkan mudarat baginya. Sesungguhnya mimpi yang tidak disukai itu ialah mimpi yang menakutkan yang boleh mendatangkan fitnah dan tipu daya.

Dalam kitab-kitab karangan Ibnu Sirin, Imam Ad-dahlawi, Imam An-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar. terdapat cara-cara dan adab-adab yang sunat dilakukan ketika bermimpi daripada gangguan syaitan. Cara-caranya adalah seperti berikut :

1. Membaca ta’awwuz (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)

2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.

3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.

4. Bangun sembahyang 2 rakaat (kalau termampu) dan berdoalah agar kita dijauhkan dari musibah dan bencana serta mintalah yang baik-baik serta perlindungan daripada Allah S.W.T.

Kalau diamalkan perkara di atas insya-Allah mimpi yang buruk itu tidak ada apa-apa kesan ke atas kita.

Di bawah ini di lampirkan takbir atau tafsir mimpi menurut ulama-ulama muktabar yang arif mengenai takbir dan tafsir mimpi seperti Imam Ibnu Sirin dan yang lain-lain :

1.0. Melihat kematian.

1.1. Al-Ustaz Abu Sa’id berkata: “Melihat mati dalam mimpi adalah penyesalan daripada perkara yang sangat besar. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati, kemudian dia hidup lagi, bererti dia mempunyai dosa kemudian dia bertaubat, berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud : "Mereka berkata: 'Ya Tuhan kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan menghidupkan kami dua kali, lalu kami mengakui dosa-dosa kami.”

(Surah al-Mukmin ayat 11)

1.2. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati tanpa didahului sesuatu penyakit dan hal-hal yang menyebabkan kematian, bererti umurnya masih panjang. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belum mati bererti sudah dekat ajalnya. Jika orang yang bermimpi itu seolah-olah menyangka bahawa dia tidak mati untuk selamanya, maka dia akan mati dalam perang sabilillah.

1.3. Sesiapa yang bermimpi, lalu dia dimandikan dan dikafani, bererti selamatlah masalah keduniaannya tetapi rosak agamanya.

1.4. Sesiapa yang melihat imam (pemimpin negeri) mati, bererti akan terjadi bencana di negeri itu, sebagaimana juga bermimpi melihat terjadi bencana di satu negeri menunjukkan matinya imam negeri itu.

1.5. Sesiapa yang bermimpi melihat mayat seseorang (yang sudah mati), seolah-olah dia mati lagi, lalu orang-orang menangis, yakni tidak sampai berteriak dan meratap, maka ini menunjukkan akan berkahwin salah seorang zuriatnya. Bermimpi melihat tangisan mereka itu menunjukkan terjadinya sesuatu yang menggembirakan bagi mereka. Menurut satu pendapat bemimpi melihat matinya lagi orang yang sebenarnya sudah mati menunjukkan akan matinya salah seorang keluarganya.

1.6. Sesiapa yang bermimpi menjumpai mayat, maka dia akan mendapat harta. Jika datang kepadanya khabar kematian seseorang, bererti akan sampai kepadanya khabar kerosakan agamanya dan meningkatnya masalah keduniaannya. Jika dia melihat seolah-olah anaknya mati, maka dia lepas dari musuhnya.

1.7. Jika dia melihat seolah-olah seseorang berkata kepada seseorang: “Si Polan meninggal dunia “, maka terjadi kesusahan bagi yang memberitahukan itu. Jika orang hamil bermimpi mati dan orang lain menangisinya tanpa meratap, maka dia akan mendapat anak lelaki dan dia akan bergembira.

1.8. Menurut satu pendapat orang bujang yang bermimpi mati menunjukkan dia akan berkahwin, sedangkan orang berkahwin yang bermimpi mati menandakan dia akan bercerai. Ini kerana jika terjadinya kematian akan terjadilah perpisahan.

1.9. Sedangkan mimpi meratap, sesiapa yang melihat seolah-olah satu tempat di tempat dijadikan tempat meratap, maka akan terjadi pentadbiran yang tidak baik di tempat itu yang menyebabkan ahlinya bercerai-berai.

1.10. Sedangkan mimpi menangis, ada tafsiran dari Ibnu Sirin bahawa beliau berkata: “Tangisan yang dilihat dalam tidur ialah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kalau tangisan atau ratapan itu disertai dengan tarian tidak baik mimpinya. Jika seseorang melihat ada orang yang mati, yakni orang yang dikenalnya, dan dia meratapnya dan membunyikan terompet, bererti terjadi musibah atau dukacita bagi orang yang dilihat itu atau bagi keluarganya."

1.11. Jika seseorang melihat pemimpin mati dan mereka menangis di belakang jenazahnya tanpa disertai dengan ratapan, maka mereka akan melihat sesuatu yang menggembirakan berlaku ke atas pemimpin itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah pemimpin mati dan orang ramai menyebut-nyebutnya orang yang baik, bererti ada kebaikan dalam kepemimpinannya.

1.12. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia berada di tengah-tengah kumpulan orang-orang yang sudah mati, bermakna dia berada di tengah-tengah orang munafik, ertinya dia menyuruh mereka mengerjakan kebaikan tetapi mereka tidak mengendahkan suruhannya itu.

1.13. Dan tafsiran dan sebahagian mereka (ahli mimpi), sesiapa yang melihat seolah-olah dia bersahabat dengan orang mati akan pergi merantau jauh dan di sana dia mendapat kebaikan yang banyak. Jika dia bemimpi makan bersama orang-orang mati bererti panjang umurnya. Dan melihat matinya pemimpin menunjukkan dia akan digulingkan atau diberhentikan.

2.0. Memandikan mayat

2.1. Adapun mimpi memandikan mayat, sesiapa yang melihat mayat memandikan dirinya sendiri, bermakna keluarga atau anak-anak mayat itu lepas dari dukacita dan bertambah hartanya. Jika mayat itu dimandikan oleh seseorang, bermakna ada orang yang bertaubat di tangan orang yang memandikan itu.

Orang yang memandikan menurut asal mimpinya ialah peniaga yang banyak mendatangkan manfaat dan banyak membantu orang susah, atau juga dimimpikan sebagai orang mulia yang bertaubat di tangannya orang-orang yang berbuat dosa.

2.2. Sesiapa yang melihat bersama-sama orang yang memandikan, maka dia akan naik dan lepas dari kesusahan. Jika melihat orang-orang mati mencari orang yang membasuh pakaiannya, bererti orang mati, itu sangat berhajat kepada doa, sedekah dan orang yang akan membayar hutangnya dan melaksanakan wasiatnya.

2.3. Jika orang yang bemimpi itu melihat seseorang membasuh pakaian orang yang sudah mati, bererti ada kebaikan dari yang memandikan itu yang sudah sampai bagi si mayat.

3.0 Melihat kafan

3.1. Manurut satu pendapat kafan dimimpikan dengan suka melakukan zina. Sesiapa yang melihat tidak sempuma pakaiannya, maka dia diajak melakukan zina tetapi tidak mengendahkannya. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia dibungkus dengan kain kafan seperti orang mati, menandakan dia akan mati. Jika dia lihat tidak tertutup kepala dan kakinya bererti ada yang kurang baik dalam agamanya.

Namun demikian terkadang kain kafan yang kurang bagi mayat diertikan sebagai dekatnya kepada taubat sedangkan kain kafan yang berlebihan diertikan sebagai jauhnya daripada taubat.

3.2. Sesiapa yang melihat seolah-olah kaum yang tidak dikenal menghiasnya dan memakaikan pakaian kemegahan kepadanya tanpa adanya sesuatu sebab seperti hari raya atau pengantin lalu mereka meninggalkannya bersendirian di satu rumah maka itu menunjukkan akan matinya.

4.0. Melihat keranda mayat

4.1. Sesiapa yang bermimpi seolah-olah dia diusung di dalam keranda, maka akan naik martabatnya dan banyak hartanya.

4.2. Sesiapa yang bermimpi dimasukkan ke dalam keranda dan tidak ada orang yang mengangkat atau membawanya, bererti dia akan dipenjara.

4.3. Sesiapa yang melihat seolah-olah orang yang menghantarnya menangis di belakang kerandanya, maka baik mimpinya, begitu juga kalau dia melihat mereka memuji dan mendoakannya. Kalau dia melihat mereka tidak menangis dan tidak memujinya tidak baik.

5.0 Mimpi Sesama Manusia

Adakala kita sering bermimpi yang adakalanya kita berada dalam keadaan bahaya di mana ada orang yang memburu kita dan cuba membunuh kita serta sering berada dalam pelarian dan ketakutan. Baiklah, mimpi sebegini boleh dihuraikan kepada mimpi berjumpa dan melihat orang yang mana terdiri kepada empat golongan iaitu orang tua, kanak, orang yang dikenali dan juga orang yang tidak dikenali. Diharap penerangan di bawah ini boleh dijadikan panduan, wallahuallam.

5.1. Mimpi melihat lelaki yang dikenali

Al-Ustaz Abu Sa’id berkata; “Bermimpi melihat lelaki yang dikenal menunjukkan akan mendapatkan sesuatu daripadanya, dari orang yang mirip dengannya atau yang satu nama dengannya.”

Maksud bemimpi menerima barang-barang berharga daripadanya bererti mendapatkan sesuatu yang dicita-citakan daripadanya. Kalau yang bermimpi itu orang yang layak menjadi pemimpin dan dia melihat menerima kemeja baru daripadanya, maka dia akan memimpin orang itu. Bermimpi menerima tali dari seseorang bererti ada berjanji denganya.

5. 2. Melihat orang tua

Melihat orang tua yang tidak dikenal atau yang berumur 35 tahun ke atas menunjukkan terbatasnya umur orang yang bermimpi itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mengikuti orang tua, bererti dia mengikut kebaikan. Sesiapa yang melihat orang tua Turki bererti dia mendapat kawan yang baik.

5. 3. Melihat pemuda / tidak dikenali

Mimpi pemuda adalah musuh. Bermimpi melihat pemuda putih merupakan musuh yang tersembunyi, pemuda hitam adalah musuh yang kaya, pemuda berkulit kemerah-merahan merupakan musuh yang tua.

5.3.1 Jika orang yang bermimpi itu melihat diikuti oleh pemuda bererti dia akan berjumpa dengan musuh. Jika dia melihat bertembung melihat orang tua berubah menjadi anak muda, maka bermacam-macam mimpinya. Ada yang mengatakan dia akan mendapat kesenangan. Ada yang mengatakan dia akan mendapat kemerosotan, sama ada masalah dunia atau agamanya, ada yang mengatakan dia akan mati.

5.3.2. Jika dia melihat pemuda yang tidak dikenal dan sangat marah melihatnya, maka dia akan berjumpa dengan musuh yang sangat dibenci orang. Jika dia senang melihatnya, maka dia akan bertemu musuh yang disukainya.Perempuan yang melihat perempuan muda dalam tidurnya bererti itu adalah musuh baginya dalam keadaan apa pun. Tetapi bermimpi melihat perempuan tua, bererti itu dunianya. Jika dia melihat wanita itu berhias mendedahkan auratnya, maka dia akan mendapatkan kesenangan dunianya. Jika dia melihat wanita tua itu berpaling muka, maka hilanglah kemegahannya.

5.3.3. Jika dia melihat orang tua masuk ke dalam rumahnya bererti dia akan mendapat kesenangan dunia dan jika dia melihatnya keluar dari rumahnya bererti hilang kesenangan dunianya.

5.3.4. Kalau dia melihat wanita tua itu bukan Islam bererti kesenangan yang itu kesenangan yang haram, tetapi kalau Islam bererti kesenangannya itu kesenangan yang halal.

5.3.5. Jika dia melihat seolah-olah wanita muda bertukar menjadi wanita tua menunjukkan baiknya dunianya.

5.3.6. Jika ada lelaki melihat wanita tua yang tidak suka kepadanya sedangkan dia suka melihatnya bererti dia susah mendapat kesenangan dunia. Jika wanita itu nampaknya suka kepadanya, maka dia mendapat kesenangan dunia sekadar kesukaan wanita tua itu.

6.0. Melihat kanak-kanak

6.1. Mimpi kanak-kanak ialah musuh yang lemah. Jika ada lelaki yang bermimpi seolah-olah dia berubah menjadi kanak-kanak bererti hilang maruahnya. Namun demikian mimpinya itu menunjukkan akan hilangnya kesusahannya. Jika dia melihat seolah-olah mendukung kanak-kanak, bererti dia akan mentadbir kerajaan.

6.2. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belajar Quran atau adab bererti dia lepas dari dosa.

6.3. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mempunyai anak yang ramai bererti akan menghadapi kesusahan kerana mengurus kanak-kanak pun banyak kesusahannya.Menurut hikayat, ada seorang lelaki mendatangi Ibnu Sirin dan berkata: “Saya bermimpi seolah-olah di bilik saya ada kanak-kanak menjerit” Maka Ibnu Sirin berkata: “Takutlah kepada Allah dan janganlah memukul orang dengan kayu.”

6.4. Melihat kanak-kanak perempuan dalam tidur bererti mendapat keringanan dan kemudahan setelah, menghadapi kesusahan. Sesiapa yang bermimpi membeli hamba abdi bererti dia mendapat kesusahan dan sesiapa yang bermimpi membeli hamba sahaya akan mendapat kebaikan.

6.5. Sesiapa yang bermimpi mempunyai anak lelaki yang sudah akil baligh, bererti itu merupakan kemegahan dan kekuatan baginya. Tetapi kemegahan dan kekuatan itu lebih besar kemungkinan berlaku pada ibu anak itu. Perempuan yang bermimpi mempunyai anak lelaki yang sudah dewasa, bererti satu kebaikan yang akan datang kepadanya. Namun demikian kata satu pendapat orang yang mempunyai anak kecil, kemudian dia melihat seolah-olah sudah dewasa, bererti menunjukkan akan matinya. Kata yang lain lagi melihat kanak-kanak seolah-olah sudah menjadi dewasa menunjukkan kepada kekuatan dan pertolongan.

6.6. Ada orang yang isterinya sedang hamil bermimpi seakan-akan lahirnya anak lelaki tetapi rupanya isterinya melahirkan anak perempuan. Ada juga yang bemimpi mendapat anak perempuan tetapi dia mendapat anak lelaki. Bahkan ada juga yang tepat seperti yang dilihatnya dalam mimpinya itu.

7.0. Mimpi Berkaitan Peristiwa Atau Kejadian

Mimpi Berkaitan Peristiwa Atau Kejadian

1. Bermimpi menunaikan solat alamatnya akan sempurna kerja di dunia dan akhirat.

2. Bermimpi berlaku perang sabil atau anda akan menunaikan haji alamatnya dosa anda akan diampunkan dunia dan akhirat

3. Bermimpi memasuki masjid haram atau melakukan tawaf di baitullah alamatnya anda akan mendapat pahala dan nikmat akhirat dan jika seseorang itu berada dalam kesakitan ia akan segera sembuh

4. Bermimpi beri sedekah atau zakat fitrah anda akan berasa suka cita dan aman bahagia

5. Bermimpi memohon doa kepada Allah Taala atau membaca qur’an di rumah anda alamatnya anda akan terlepas daripada bahaya atau sempurna sesuatu pekerjaan yang dilakukan

6. Jika bermimpi membaca qur’an dengan suara yang lanjut alamatnya panjang usia anda

7. Jika bermimpi berpuasa alamatnya anda akan mendapat kekayaan atau menjadi orang yang berpakat besar

8. Jika bermimpi diri anda dalam keadaan bersujud alamatnya anda akan bertapa

9. Bermimpi sembahyangkan jenazah memberi alamat anda akan mendapat pahala di dunia dan akhirat

10. Jika bermimpi melihat pelita atau sesuatu yang menyala menandakan pekerjaan yang anda lakukan tidak dapat dilakukan oleh orang lain Bermimpi diri atau rumah anda terbakar menandakan anda akan mendapat ilmu kebajikan di dunia dan akhirat

11. Jika bermimpi melihat jalan masuk ke kebun atau sesuatu kawasan alamatnya anda akan mendapat berita yang gembira

12. Jika bermimpi melihat jalan yang lurus memberi alamat anda akan melakukan segala suruhan Allah Taala Jika bermimpi melihat jalan ke pekan memberi petunjuk anda akan mendapat keuntungan yang besar

13. Jika bermimpi melihat jalan yang sempit alamatnya anda akan mengalami kesukaran

14. Bermimpi perisai terlalu banyak di rumah anda alamatnya rumah anda dipeliharan daripada sebarang kejahatan

15. Bermimpi mengenai anak panah menandakan anda akan mendapat surat Jika bermimpi diri di panah orang alamatnya anda akan mengirim berita kepada orang

16. Bermimpi memanah kayu menandakan akan berlaku kematian

17. Bermimpi bermain besi memberi alamat sebarang pekerjaan yang dilakukan akan diakhiri dengan kejayaan

18. Bermimpi bermain dengan senjata menandakan seseorang itu akan mendapat kebaikan daripada apa yang dilakukan untuk kebajikan Bermimpi mengenai permata membawa petanda anda akan mendapat harta atau kenaikan pangkat

19. Bermimpi memakai gelang perak di kaki alamatnya anda akan mendapat kebajikan

20. Bermimpi duit terbelah dua alamatnya anda akan bergaduh

21. Bermimpi bertengkolok besar atau berbaju besar anda akan menjadi orang berpengaruh atau berpangkat besar

22. Bermimpi berkain hijau alamatnya segala kerja yang dilakukan akan mendapat keredhaan Allah Taala.

23. Bermimpi memakai kain memberi alamat anda akan mendapat keuntungan yang besar

24. Jika bermimpi kain di pinggang terkoyak alamat keluarganya akan mati dan kalau terkoyak baju alamat kematiannya

25. Bermimpi mengenai bunyi gendang di dalam rumah alamatnya pekerjaan anda diberkati

26. Jika bermimpi bunyi rebab alamat beroleh kegembiraan dalam hidup

27. Jika bermimpi makan kuih apam alamatnya anda akan mendapat harta dan jika makan sehidangan dengan raja atau orang besar kehendak anda akan tercapai

28. Bermimpi makan gula alamatnya seseorang akan berduka cita

29. Bermimpi makan makanan masam memberi alamat anda akan sakit atau berduka cita

Jika bermimpi memakan ubat alamatnya anda akan berada dalam keadaan aman dan sentosa

30. Sekiranya bermimpi diri anda telah sembuh dari demam, menandakan cita-cita anda akan berjaya.

31. Jika bermimpi muka anda merah atau hitam menandakan anda akan mendapat bahaya.

32. Jika bermimpi gigi anda patah menandakan saudara anda akan mendapat kemalangan atau mati.

33. Jika bermimpi diri anda dipukul orang atau mengalami perdarahan menandakan anda akan kehilangan harta.

34. Jika bermimpi dimarahi guru, menandakan anda akan dimurkai oleh orang-orang besar.

35. Jika bermimpi rumah anda atau rumah orang lain runtuh alamatnya anda akan difitnah.

36. Jika bermimpi naik ke rumah besar atau mahligai yang indah anda akan memperoleh kebesaran di dunia dan akhirat.

37. Jika bermimpi membuat rumah atau dinding alamatnya anda akan memperolehi kekayaan dan selamat dalam kerjaya anda.

38. Jika bermimpi melihat rumah yang tinggi menandakan anda akan berkawan dengan orang jahat

39. Bermimpi tangga rumah patah menandakan anda akan dikhianati

40. Sekiranya di dalam mimpi anda anda berwudhuk alamatnya pekerjaan anda akan sempurna

41. Jika bermimpi tidak boleh berenang atau sesak nafas yang teramat sangat menandakan anda akan memperoleh harta atau ilmu

42. Sekiranya anda bermimpi berjalan atau berlayar ke sesuatu tempat yang jauh menandakan anda akan dipermuliakan orang

43. Bermimpikan ayam sabung menyambung menandakan anak lelaki anda akan berkawan dengan orang baik

44. Jika bermimpi melihat Allah Taala dengan ketiadaan yang menyerupai baginya dengan sesuatu , segala kehendak akan diperolehnya dan dialah Wali Allah yang beroleh kebesaran di dunia dan akhirat

45. Sekiranya seseorang bermimpi melihat Rasulullah s.a.w anda akan masuk syurga

46. Jika bermimpi melihat malaikat Jibrail a.s datang kepada anda, anda akan mendapat pahala di dunia dan akhirat

47. Jika di dalam mimpi seseorang itu melihat titian siratulmustaqim, seseorang itu akan mendapat pekerjaan yang baik dan dijauhi daripada kejahatan

48. Sekiranya bermimpi melihat pendita atau fakir, anda akan dikurniakan sesuatu oleh Allah S.W.T.

49. Sekiranya bermimpi melihat lelaki lebih ramai daripada perempuan menandakan anda akan mendapat kebajikan

50. Jika bermimpi memegang dakwat atau kalam, alamatnya anda akan memperoleh isteri, ilmu dan harta yang halal

51. Jika bermimpi mata atau tubuh anda bercahaya alamatnya anda akan memperoleh kebajikan dengan sempurna

52. Jika bermimpi mencukur bulu ketiak menandakan anda akan terlepas dari harta yang ditanggung

53. Jika bermimpi berjumpa dengan orang alim alamatnya anda akan menjadi penghulu besar

54. Jika bermimpi memotong rambut menandakan anda akan bercerai dengan isteri

55. Bermimpi membuang darah menandakan anda akan sembuh dari penyakit

56. Jika bermimpi paras anda mempunyai perempuan alamatnya anda akan memperoleh harta atau anak

57. Jika bermimpi diri anda mati menandakan anda akan panjang umur tetapi jika bermimpi mati hidup semula alamatnya kehendak anda akan diperoleh

58. Sekiranya diri anda bermimpi dibawa ke kubur alamatnya anda akan beroleh kekayaan

59. Jika bermimpi kanak-kanak ating kepada anda menandakan anda akan memperoleh harta yang banyak

8.0. Mimpi Berkaitan Alam Semulajadi Dan Tanaman

1. Bermimpi mengenai batu-batu halus alamatnya anda akan terlepas dari kedukaan

2. Bermimpi makan tanah liat anda akan mendapat harta

3. Seseorang yang bermimpi emas yang banyak di dalam rumahnya alamatnya anda akan menjelaskan segala hutang piutang

4. Jika anda bermimpi hujan turun dengan lebat, anda akan mendapat rezeki berlipat kali ganda dan memperoleh rezeki yang halal.

5. Jika bermimpi bintang jatuh ke riba atau jatuh ke atas rumah menandakan anda akan memperoleh kejayaan dan dikurniakan anak yang baik.

6. Sekiranya bermimpi naik ke atas angin dan tetap di sana anda akan menjadi raja.

7. Sekiranya anda bermimpi melihat matahari dan bulan, bulan turun ke riba atau masuk ke lengan baju, anda akan memperolehi kejayaan di dunia.Sebaliknya jika melihat matahari terbelah dua atau hitam warnanya menandakan raja di negeri itu mati atau negeri itu akan mendapat huru-hara.

8. Jika bermimpi mendengar halilintar atau guruh petir menandakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

9. Jika bermimpi tebu anda akan dimurahkan rezeki sebaliknya

10.jika bermimpi menanam sesuatu tanaman kemudian tanaman itu tumbuh menandakan anda akan memperoleh untung yang banyak

11. Bermimpi pohon gandum,padi atau kacang hidup dengan subur manandakan anda akan memperoleh rahmat allah, sebaliknya jika bermimpi menanam tanaman yang masam anda akan berduka-cita.

12. Jika bermimpi menanam kapas anda akan mendapat untung

13. Bermimpi air sungai mengalir dengan tenang menandakan anda akan terlepas dari bahaya.

14. Jika bermimpi air sungai kering anda akan memperoleh kesakitan

15. Jika anda bermimpi mandi dalam sungai menandakan anda akan beroleh rahmat

16. Jika bermimpi menyelam dalam sungai yang airnya sejuk alamatnya anda akan beroleh nikmat di dunia dan akhirat

17. Jika bermimpi air laut menjadi tawar atau manis anda akan memperoleh harta atau dijauhi dari sebarang bahaya.

18. Jika anda bermimpi air terlalu panas menandakan anda akan berduka cita.

19. Jika bermimpi makan buah timun alamatnya anda akan mendapat kebajikan atau berjumpa dengan orang yang mahir dalam ilmu pengetahuan

20. Bermimpi mengenai buah delima manis anda akan memperoleh kebajikan dan keuntungan dalam perniagaan

21. Bermimpi makan api memberi alamat beroleh isteri yang bijaksana

22. Bermimpi tentang emas,perak atau timah menandakan kerja yang dilakukan tidak mendapat sebarang keuntungan

23. Bermimpi emas bertahtakan permata anda akan mendapat kekayaan

9.0. Bermimpi Akan Haiwan

1. Jika bermimpi melihat kambing yang terlalu banyak menandakan pekerjaan anda akan memperoleh rezeki yang halal.

2. Sekiranya bermimpi naiki kuda atau unta, anda akan memperoleh kemuliaan dan kebajikan serta cita-cita anda akan dimakbulkan Allah.

3. Bermimpi naik gajah anda akan dipermuliakan orang dengan kebesaran.

4. Jika bermimpi membunuh gajah anda akan dihormati dan memperoleh kebahagian di dunia dan akhirat.

5. Jika bermimpi melihat gajah berjuang alamatnya orang-orang besar akan berkelahi sesama sendiri.

6. Jika bermimpi harimau datang kepada anda alamatnya anda akan memperoleh kehinaan

7. Jika bermimpi melihat babi atau anaknya menandakan orang itu melakukan pekerjaan terkutuk. Sebaliknya jika bermimpi membunuh babi atau tikus anda akan menunaikan haji atau memperoleh pahala haji.

8. Jika bermimpi pelanduk atau kijang datang kepada anda alamatnya anda akan memperolehi isteri yang jahat.

9. Jika bermimpi lebah bersarang dalam telaga atau sarangnya jatuh dalam telaga menandakan anda akan dipermuliakan orang

10. Sekiranya bermimpi anda ditangkap harimau, alamatnya anda akan diperdayakan orang

11. Bermimpi memandikan binatang menandakan seseorang itu akan sakit atau mendapat kebinasaan atau kehilangan sesuatu

12. Jika bermimpi melihat terlalu banyak ayam di bawah rumah anda atau di dalam kampung anda akan beroleh orang gaji atau hamba yang baik

13. Jika bermimpi bermain telor ayam menandakan anda akan berkawan dengan orang-orang jahat

14. Jika anda bermimpi bermain dengan burung hantu di rumah atau berhampiran dengan rumah anda menandakan ahli keluarga anda akan meninggal dunia

15. Sekiranya anda bermimpi burung merak datang kepada anda lalu anda tangkapnya menandakan anda akan memperoleh kekayaan atau mendapat anak lelaki

16. Jika bermimpi lebah, lalat atau nyamuk terlalu banyak alamatnya orang ramai akan berhijrah ke tempat anda

17. Jika bermimpi burung terbang ke rumah anda kemudian terbang ke rumah orang lain menandakan anda akan berduka cita

18. Bermimpi burung putih datang ke rumah menandakan anda akan memperoleh isteri yang budiman atau mendapat rezeki

19. Jika bermimpi menunggang naga menandakan semua kehendak diperoleh

20. Jika bermimpi dililit ular seluruh badan menandakan sesuatu yang buruk akan berlaku

21. Bermimpi kutu atau hama melekat di badan atau pakaian menandakan anda akan mendapat bencana

22. Bermimpi disengat binatang bisa menandakan anda akan mendapat kecelakaan

23. Jika bermimpi dipatuk ular seseorang itu akan mendapat suami atau isteri

24. Bermimpi makan telor ayam, pisang atau minyak alamatnya akan memperoleh keuntungan

25. Bermimpi memukat ikan alamatnya anda akan menjadi kaya atau mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda

26. Bermimpi mencari burung alamatnya anda akan mendapat keuntungan dan dimurahkan rezeki

27. Bermimpi mendapat terlalu banyak najis menandakan anda akan kekurangan harta

28. Bermimpi mengenai najis besar menandakan anda akan mendapat kerugian

29. Jika bermimpi makan tahi alamatnya anda akan memperoleh harta yang halal dan akan sembuh dari penyakit

30. Jika bermimpi mencium bau kasturi atau anbar alamat orang itu akan sakit Bermimpi tubuh anda direnjis air mawar menandakan anda akan mendapat harta kekayaan yang halal

Sahabat yang dikasihi,

Takbir mimpi yang dinyatakan di atas adalah sebahagian saja takbir mimpi yang dapat di tuliskan, sebahagian besar takbir ini boleh merujuk buku bertajuk "Ensiklopedia Tafsir Mimpi Menurut Islam karangan Imam Muhammad Ibnu Sirin"

Sebahagian dari mimpi yang kita alami mungkin adalah mainan tidur (gangguan syaitan). Bergantung kepada waktu kita tidur dan kebiasaanya mimpi yang benar selalu berlaku apabila keadaan kita tidur dengan nyenyak bermula jam 1 pagi sehingga 4 pagi sebelum waktu subuh. Mimpi yang baik juga adalah mimpi semasa tidur sebentar sebelum masuk waktu zohor .(Sunnah Rasulullah S.A.W. yang menyarankan agar kita tidur sebentar sebelum masuk waktu solat zohor dipanggil qailulah)

Setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah S.W.T, kita perlu berserah kepada Qadak dan Qadar Allah S.W.T , kerana Dia saja yang Maha Mengetahui. Wassalam.

Selasa, 1 Februari 2011

Salam Ukhuwah dan Perjuangan!


Sahabat yang dirahmati Allah,

Kita tidak pernah bertemu wajah, tetapi takdir Allah menemukan kita dialam siber ini!

Sebenarnya pertemuan ini telah di atur oleh yang Maha Esa sejak azali lagi. Di alam arwah dahulu rohmu, rohku dan roh semua manusia telah berikrar dihadapan Rabbul Jalil , firman Allah S.W.T. dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'."


Sahabat yang dimuliakan,

Bersyukurlah kepada-Nya dengan syukur yang sebenar-benarnya kerana kalian dipilih menjadi hamba-Nya yang beriman, dikurniakan taufik dan hidayah-Nya dan menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W.

Kalian telah dipilih menjadi Muslim dikalangan beribu-ribu mereka yang bukan Islam, yang sedang sesat diatas dunia yang fana ini.


Ingatlah sahabatku!

Bahawa sesungguhnya hidayah dari Allah ini lebih berharga dari dunia serta isi-isinya. Sekiranya diberi pilihan untuk menukarkan seluruh nikmat dan harta dunia ini dengan nikmat iman yang kalian miliki sekarang ini, adakah kau sanggup menukarkannya?.

Jawapannya pasti kalian tidak mahu kerana harta di dunia ini hanyalah fartamogana dan umpama barang yang tidak bernilai.

Mereka-mereka yang mengejar dunia tanpa matlamat yang jelas sebenarnya mereka mengejar bayang-bayang yang lemah dan akan hilang apabila cahaya mentari sudah tidak ada lagi .

Di dunia umpama tempat bermain-main bukanlah hakikat kehidupan sebenarnya, di akhiratlah tempat hidup yang sebenarnya yang kekal abadi.

Al-Imam Hasan al-Banna ada berkata, " Orang yang bijak adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini untuk mendapat kebahagiaan di hari akhirat"


Sahabatku,

Ingatlah hidup di dunia adalah sementara waktu bila sampai masanya kalian akan dijemput menghadap Tuhan yang Maha Agong dan Maha Bijaksana.

Tiga yang akan mengiringi kalian kekuburan, dua akan pulang dan hanya satu yang akan menemai kalian. Dua yang pulang adalah hartamu dan insan yang dikasihi, sedangkan yang bersamamu adalah amal soleh dan amal kebaikan yang kalian lakukan dahulu.

Ingatlah kegelapan alam kubur hanya dapat diterangi dan diluaskan dengan melaksanakan empat perkara iaitu menjaga sembahyang lima waktu, banyak bersedekah

, banyak membaca al-Quran dan memperbanyak bertasbih subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah.

Siksa kubur yang dahsyat itu dapat di jauhi apabila kalian menjauhi empat perkara iaitu tidak suka berbohong, tidak khianat, menjauhi mengadu domba dan menjaga kencing dengan sempurna.

Pergunakan lima peluang sebelum datang yang lima lagi. Manfaatkan hidup sebelum datang kematianmu, waktu sihat sebelum sakit mu, waktu lapang sebelum sibuk mu,

waktu muda sebelum tua mu dan waktu kayamu sebelum kamu menjadi miskin!


Sahabat,

Sesungguhnya hidayah untuk beriman kepada Allah S.W.T. adalah urusan dan pilihan-Nya sendiri. Para Nabi dan Rasul tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang mereka kasihi.

Bagaimana Nabi Nuh a.s. tidak mampu untuk mengajak isteri dan anak lelakinya untuk beriman kepada Allah S.W.T. Doa baginda ditolak oleh Allah S.W.T. kerana urusan hidayah adalah urusan-Nya.

Keadaan yang sama berlaku juga kepada Nabi Luth a.s. apabila isteri baginda enggan mengikuti suaminya yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. menjadi Rasul sebaliknya bersekongkol dengan golongan homoseksual yang kafir kepada Allah S.W.T. sehingga Dia menurunkan bala yang amat dahsyat keatas mereka.

Peristwa hidayah berlaku juga pada Nabi Muhammad S.A.W. apabila bapa saudara baginda Abu Talib di saat kematiannya masih enggan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dihadapan Nabi S.A.W , baginda merasa amat sedih kerana orang yang paling banyak berjasa kepada kehidupan dan perjuangan baginda tidak mahu mengikrarkan Kalimah Syahadah.


Sahabat,

Apakah tanda syukur kita kepada Allah S.W.T. hanya cukup sekadar kita ucapkan 'alhamdulillah' sahaja?

Sebenarnya hanya ucapan tersebut tidak memadai kerana apabila kita mengucapkan kalimah 'Laa ila ha illallah. Muhammadur Rasulullah' ini bermakna kita berikrar dengan lisan, yakin dengan hati dan melaksanakannya dengan perbuatan. Seluruh hidup kita di serahkan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. untuk taat dan patuh kepada segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya dan beriman kepada Rasulullah S. A.W. dan mengikuti semua sunnahnya.

Sahabat,

Tugas kepada Allah S.W.T. bukan setakat kita melaksanakan amal soleh untuk diri kita sahaja tetapi kita perlu berdakwah kepada orang lain.

Jika kalian ingin menjadi para mujahidin di hari akhirat , kalian perlu menjadi mujahidin ketika di dunia.

Jika kalian ingin menjadi kekasih Allah di hari akhirat kalian perlu menjadi kekasih Allah ketika di dunia ini lagi.

Di dunia adalah tempat kalian bercucuk tanam dan di hari akhirat adalah tempat menuai hasilnya.

Mana mugkin pokok yang kalian tanam kalian tidak meletakkan baja dan tidak disirami air, kalian mengharapkan ianya subur dan membuahkan hasil yang baik?

Begitu juga jika kalian mengharapkan syurga Allah, kalian perlu berusaha di dunia ini melaksanakan amal soleh, amal kebajikan, amal ibadah, berjihad dan mewakafkan seluruh hidup kalian untuk mencari reda dan rahmat Allah S.W.T.


Sahabat,

Bersabarlah kerana kesabaranmu membawa kau dekat dengan Tuhanmu.

Bertakwalah kepada Allah, kerana takwamu akan membawamu menjadi insan yang mulia disisi-Nya.

Bertawakkallah kerana tawakkal seorang hamba merupakan ikatan bersama Rabbnya.

Bersyukurlah kerana sifat syukur tanda kau menghargai nikmat-nikmat yang banyak yang telah kau terima.

Redalah diatas Qadak dan Qadar Allah tanda dirimu berbaik sangka dengan-Nya dan yakin diatas ketentuan-Nya.

Ikhlaskan hatimu kerana keikhlasan membawa nilai dalam semua amalanmu.

Khusyukan hatimu ketika solat kerana kekusyukan akan membawa erti dalam solatmu.

Berwaspadalah dalam semua perkara nescaya kau akan terhindar dari tipu daya .

Sahabat,

Jika kau ingin berjumpa Allah dengan tiada dosa dihari akhirat nanti bersihkan diri dari dosa.

Jika kau inginkan mendapat cahaya dihari akhirat maka janganlah menzalimi orang lain.

Jika kau ingin dikasihi Allah di hari qiyamat kasih diri sendiri dan kasihilah orang lain.

Jika kau ingin dihapuskan segala dosa-dosamu maka banyakkan beristighfar.

Jika kau ingin menjadi semulia-mulia manusia maka janganlah sangka buruk pada orang lain.

Jika kau ingin menjadi orang yang paling gagah sentiasalah bertawakkal dan serah diri kepada Allah.

Jika kau ingin rezeki sentiasa murah dan kau akan memilikinya maka sentiasa bersih dari hadas, solat Duha dan hubungkan silaturahim.

Jika kau ingin termasuk golongan di kasihi Allah dan Rasul maka cintailah semua yang di sukai Allah dan Rasul.

Jika kau ingin terselamat dari kemurkaan Allah di hari kiamat maka janganlah kau marah pada orang lain.

Jika kau inginkan doamu diterima Allah maka jauhilah makanan yang haram masuk dalam perutmu

Jika kau inginkan keaifanmu ditutup di hari kiamat maka tutuplah keaiban orang lain.

Jika kau ingin terselamat dari dosa maka alirkanlah air matamu tanda penyesalan, tunduk pada Allah dan bersabarlah ketika di timpa kesakitan.

Ingatlah! Sebesar-besar kebaikan disisi Allah apabila kau elokkan budi pekertimu, rendahkan dirimu dan bersabar dengan ujian.

Ingatlah! Sebesar-besar kejahatan disisi Allah adalah buruk akhlak dan sedikit ketaatan maka kau jauhkanlah dirimu dari sifat ini.

Jika kau ingin meredakan kemurkaan Allah dunia dan akhirat maka hulurkanlah sedekah secara senyap dan hubungkan kasih sayang kerana Allah.

Ingatlah! Jalan yang boleh memadamkan api neraka adalah sabar di dunia dengan bala dan musibah.


Sahabat yang dikasihi Allah.

Bersihkanlah hatimu dari syirik, iri hati, riak, sombong dan takabur.

Kerana sifat-sifat ini menghapuskan amalanmu.

Janganlah pemilihanmu kerana dunia dan nafsu, nescaya ianya tak akan kekal.

Hubungkanlah hatimu dengan Allah nescaya kau akan terpelihara dari perasaan kecewa, truma, forbia, putus asa dan resah gelisah.

Yakinlah apa yang Allah takdirkan padamu itu ada hikmah yang banyak dan tanda Allah kasih padamu.

Yakinlah janji Allah...bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah adalah insan yang akan mendapat perlindungan Allah dihari akhirat nanti.

Ku harapkan pertemuan kita di facebook ini termasuk di dalam golongan ini.InsyaAllah...Amin.